Pakar Motivasi


Dek terdengarnya kehadiran pakar motivasi tersohor di kampung mereka, penduduk semua berbondong-bondong menuju ke jeti untuk melihat sendiri perihal orangnya. Yang sihat datang berlari, yang tua bertongkat. Yang ada Myvi ekzos kecoh tambah huru-hara jalanraya. Ibu muda menggendong anak, berkasut roda meluncur, berkerusi roda harapkan sedara tolak. Keluarga mermotorsikal pantak lima helmet entah ke mana.

Maka sekelian kampung datang berhimpun di jeti mengerumuni pakar motivasi.

Pegawai bank perut boroi, termengah-mengah kerana bagasi lemak berlebihan. Perut seakan-akan menembusi butang baju, ketiak dan belakang lenjun dengan peluh, mula-mula sekali bertanya, "Pakar motivasi, ceritakan kepada kami perihal harta kekayaan"

Pakar motivasi tenang menjawap, "Tiada wujudnya ukuran bagi kekayaan kamu. Ia bukanlah pada banyak atau sedikit yang kamu miliki, sebaliknya yang menjadi ukuran adalah hubungan baik kamu dengan harta kekayaan"

Pengusaha gimnasium, berbadan sasa dengan singlet ketat "Jelaskan mengenai keupayaan"

Sambil memperbetulkan cincin di jari, pakar motivasi bersuara "Keupayaan ibarat paip bocor tepi jalan. Manafaat kepada kereta yang kotor serta mudarat bagi pembekal air. Pejalan kaki mungkin merana bukan sahaja dari semburan air itu sendiri, malah lopak yang dilanggar kereta juga mengundang musibah."

"Belum kira kalau pakai baju kemeja putih dalam perjalanan ke pejabat. Namun air itu sendiri kalau asal dari paip utama bukankah berketekanan tinggi?"

"Paip domestik kalau sambung dengan power-jet boleh terkopak cat kereta!"

Waima rasa macam kena kelepet, orang kampung semua mengangguk-anggukkan kepala mereka supaya tak nampak bodoh di sesama jiran tetangga.

Comments

Popular posts from this blog

Kemelut Di Muara Bazaar

:; Special Feature - 14 Hari Mencari Hantu

:: Kepak Ayam Madu Jerantut Yang Kecewa