DEEP SOUTH 2025 Day 5 - Fruity Connection
Pagi itu kami bergerak meninggalkan Patani. Perjalanan hari ini agak jauh menuju ke Narathiwat. Sebelum itu, kami berhenti di gerai tepi jalan untuk makan di pinggir bandar Patani. Gerai kecil, lauk bertimbun. Macam-macam jenis. Cara masak pun saya tak pernah lihat. Tak tahu mana satu nak pilih. Kang ambik banyak-banyak sekali nak makan tak sedap selenge nak mengabih.
Saya melewati dapur untuk membasuh tangan. Mata saya tertancap ke arah sesuatu. Terselit di celah-celah bahan basah ada sepinggan buah berwarna hijau. Ia bukan sebahagian bahan mentah untuk dimasak, bukan juga untuk dihidang kepada pelanggan. Ia adalah untuk dimakan oleh pekerja di waktu senggang mereka. Mungkin mereka terjumpa buah itu di pasar pagi tadi masa beli barang. Beli lah sikit buat makan kat kedai. Saya lantas memanggil pekerja kedai yang sedang lalu di situ sambil menunjukkan ke arah buah tersebut.
"Saya nak beli sikit buah ni boleh?".
I had to have at least one bite.
Beberapa tahun yang lalu..
"Kundang dah ada ni, balik lah."
Pesanan whatsapp ringkas dari Mak saya yang sentiasa menyebabkan saya gelepor packing baju, start kereta dan pulang. Walaupun dalam dompet ada Rm30 je ngam-ngam lepas isi minyak.
Kundang di kampung saya adalah sepohon pokok purba yang saya tak boleh trace bila dia tumbuh. Bobok orang zaman dahulu, ada askar Jepun mati kena tetak kat situ, mayat ditinggalkan begitu sahaja dan biji kundang dalam perut dia bercambah. Berbuah ikut suka hati dia je. Setahun sekali kadang tu tak berbuah langsung.
For me, it is a sacret fruit with intense sourness. Kemasamannya yang tajam mencengkam lidah saya, berlingkar ketat di dada, jantung saya berdegup kencang. Challenging my senses. It is my most favourite fruit ever.
Mak saya sentiasa monitor perkembangan pokok kundang di kampung. Bila dah berbuah dia seru semua orang mari. Bawak kanvas buat alas duduk, pisau, bekas tupperware, kicap, garam, gula, cili bawak semua. Pelbagai aksi menjolok kundang akan dipamerkan. Jolok pakai galah, baling dengan selipar, tutuh dahan, panjat sampai pucuk julai nyaris nak kena panggil bomba bawak turun.
Duduk lah kami di bawah teduhan pokok kundang sambil bunyi krup-krap kunyah buah muda. Mak saya hanya tertawa melihat wajah saya berkerut-kerut, menahan masam. Kami berkongsi cerita, perkembangan terkini dan pelbagai gosip liar semasa.
Sejak pemergian mak saya, agenda ini terhenti begitu sahaja. Buah kundang di kampung juga enggan berbuah lagi. Sudah dua musim berlalu. Berbunga pun tidak.
Pekerja kedai mengangguk.
Hanya pemakan buah kundang muda tegar yang faham perasaan satu sama lain.
Apabila saya kembali ke meja, buah sudah tersedia. Sebilah pisau juga tersisip kemas di pinggir pinggan. Beberapa pekerja kedai mengintai dari celah dapur ingin melihat reaksi wajah saya memakan buah masam ini.
Kundang muda, bijinya berwarna ungu dan masih lembut. Kulitnya dimakan sekali. Teksturnya rangup dan banyak jusnya. Deria rasa saya bergelora. Ia adalah varian dan spesis yang sama seperti di kampung. Rasa yang hampir saya lupakan mencengkam kembali lidah.
Saya terdiam lama. Bukan rasa masam sahaja yang menikam dada saya. Saya rindukan perasaan gelepor hendak pulang. Hati teruja, kecur air liur.
Kini, tiada siapa yang menyeru, dan tiada siapa yang menanti.
But I found a piece of home. Here, in Patani.
Comments